Wednesday, January 12, 2011

Kenapa Anda Perlu Membina Kekayaan?



Adakah anda ingin tinggal di rumah impian anda?
Adakah anda ingin memandu kereta idaman anda?
Adakah anda mahukan masa lapang yang berkualiti untuk melakukan hobi-hobi anda?
Adakah anda ingin menggandakan pendapatan anda dan hidup gembira bersama keluarga?
Adakah anda ingin menghantar ayahanda dan bonda  ke Tanah Suci untuk mengerjakan Haji?



1. Setiap Manusia Adalah Khalifah Pada Diri Sendiri.
Allah jadikan manusia untuk memegang tugas sebagai khalifah di muka bumi. Jika menghayati falsafah ini, manusia dituntut untuk mengasah kualiti diri sebagai ketua. Sekurang-kurangnya ketua pada diri sendiri. Mengusahakan perniagaan sendiri bermakna seseorang itu adalah ketua kepada perniagaannya.

2. 9/10 Sumber Rezeki Adalah Berniaga.
Rasulullah SAW menegaskan bahawa 9/10 dari sumber rezeki itu terdapat dalam arena perniagaan. Nah, kalau nak banyak rezeki, carilah ia dalam berniaga.

3. Menjadi Bos Kepada Diri Sendiri.
Sekiranya anda tidak tahan dimarahi majikan setiap hari, maka tidak ada sesiapa yang dapat menegah anda daripada berhenti bekerja untuk orang lain, dan mulakan perniagaan anda sendiri.

4. Bebas Menentukan Masa Untuk Bekerja.
Tiada sesiapa yang dapat mengarahkan anda untuk bekerja pada masa yang tertentu. Anda bebas untuk memilih pukul berapa hendak mulakan bekerja dan pukul berapa hendak berhenti.


5. Bebas Menentukan Tempat Kerja.
Anda bebas menentukan di mana tempat yang selesa buat anda. Ada sesetengah orang mengusahakan perniagaan melalui internet dari rumah atau bilik tidurnya sahaja.

6. Tentukan Sendiri Berapa Pendapatan Yang Anda Mahu.
Maksudnya anda boleh tetapkan matlamat berapakah pendapatan yang anda inginkan sesuai kehendak dan impian anda. Jika bekerja makan gaji dengan orang lain, bolehkah anda minta gaji RM2000 pada bulan ini dan RM5000 untuk bulan hadapan?

7. Makin Tekun Usaha, Makin Banyak Pulangan.
Semakin anda tumpukan perhatian dan semakin gigih anda mengusahakan perniagaan anda itu, maka semakin tinggilah potensi pendapatan anda. Jika makan gaji, mungkin hanya dapat “overtime” dan “anugerah pekerja cemerlang”, tapi tidak boleh beli kereta idaman.

8. Berusaha Berdasarkan Minat Sendiri.
Sebagai contoh, jika minat anda memancing, anda boleh membuka perniagaan menjual alat-alat memancing. Melalui internet pun boleh. Tidak perlu sewa kedai. Ataupun membuka tempat memancing udang secara berbayar mengikut jam. Rasanya ramai pelanggan yang akan masuk, yang terdiri daripada kaki pancing. Daripada bekerja sebagai pembantu kedai alatan memancing, lebih baik mengusahakannya sendiri.

9. Kerja Makan Gaji Adalah Berisiko Tinggi.
Sebenarnya makan gaji lebih berisiko daripada berniaga. Namun kadang-kadang kebenaran lebih pelik dari kebohongan. Dari perspektif pendapatan, apabila bekerja dengan orang lain, pendapatan setiap bulan boleh hilang dengan hanya sehelai kertas dari majikan iaitu notis pemberhentian kerja! Tambahan pula jika bekerja makan gaji, kita hanya ada satu sumber pendapatan, berbanding jika berniaga, kita boleh mempelbagaikan sumber pendapatan.

10. Kebanyakan Orang Kaya Adalah Peniaga.
Adalah sesuatu yang pelik, ramai orang mahu jadi kaya tetapi tidak mahu menempuh jalan yang menyebabkan seseorang itu beroleh kekayaan. Percayalah kekayaan itu lebih mudah jika berniaga.

Dalam perspektif orang Islam, ramai yang mengatakan tak payah la kaya-kaya. Bersederhanalah. Tak perlulah menjadi jutawan. Betul ke dalam Islam itu sendiri menuntut kita dengan bersederhana dalam bentuk kekayaaan ini?
Ini adalah salah satu perkara yang seringkali kita terlepas pandang. Ini daripada ulama’-ulama’ yang mentafsirkan dan orang ramai tahu serta ustaz-ustaz di luar sana pun beritahu kita yang kita ini adalah ‘umattan wasata’ ataupun kita ini adalah umat pertengahan. Maksud umat pertengahan itu kadang-kadang ditafsirkan dengan cara yang betul dan acapkali juga ditafsirkan dengan cara yang silap.
Pertengahan itu dikatakan seperti ”ala, kalau kita mati nanti pun kita bawa kain kapan jer bukannya boleh bawa harta benda masuk kubur”. Maksud bersederhana di situ adalah silap sama sekali sebab sederhana yang dimaksudkan adalah dalam satu konteks yang pernah disebutkan oleh Nabi S.A.W iaitu: “Allah amat kasih akan hambanya yang apabila melakukan sesuatu kerja dia membuat dengan cara yang terbaik “. Itu adalah soheh riwayat al-Dailami.
Jadi kalau hadis itu kita pegang maka Allah akan sayang kepada kita sekiranya kita melakukan yang terbaik di dalam apa jua yang kita lakukan. Jadi dimana pula pendekatan sederhana itu bermaksud?
Ulama’-ulama’ mengatakan bahawa pendekatan maksud sederhana dimaksudkan dengan seimbang iaitu ‘balance’. Ianya juga membawa maksud bahawa kita hebat di dunia dan hebat juga di akhirat. Hebat di rumah dan hebat juga dengan masyarakat, itulah maksud sederhana yang perlu ditafsirkan. Sederhana iaitu dari segikata kita perlu hebat dalam apa jua yang kita lakukan dan perlu seimbang. Kita tidak boleh terlalu hebat di dalam masyarakat sehingga rumahtangga terabai, itu bukannya seimbang.
Itulah sekiranya kita mentafsirkan konsep sederhana dengan betul maka umat Islam atau bangsa Melayu khususnya akan jadi hebat dan akan jadi cemerlang dan tidak akan jadi ‘jumud’ atau terikat dengan tekanan dengan kata-kata, ”Buat apa sibuk-sibuk nak jadi kaya”. Itu adalah satu pentafsiran yang salah. Bagaimana kita nak bantu dan bangunkan umat sekiranya kita tidak kaya dengan cara yang Allah redha.
Apa yang dituntut dalam Islam adalah supaya menjadi cemerlang dalam apa jua yang kita lakukan dan apabila kita cemerlang, pulangannya juga akan jadi cemerlang juga. Jika ada yang cuba mematahkan semangat anda dengan berkata-kata ”buat apa lah nak kaya-kaya… bukan boleh bawak masuk kubur pun…”, anda pasti akan dapat memahami maksud yang tersirat lagi tersurat. Insya’Allah
Hari ini adalah PENGHARAPAN…esok adalah PERJUANGAN…dan lusa adalah KEMENANGAN…jumpa anda di angkasa kejayaan!!!

No comments:

Post a Comment